Followers

rantau ku sayang

Thursday, July 10, 2014

Pasar Payang Baharu Bina Ikut Aspirasi Rakyat -MB


Kerajaan Terengganu bersetuju membina Pasar Besar Kedai Payang yang baharu dengan mengikut aspirasi rakyat tanpa membina hotel tetapi mengekalkan warisan Terengganu khususnya jam besar dan replika perahu payang, kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman.

 “Buat masa sekarang kita bersetuju supaya Pasar Payang dibangunkan semula mengikut aspirasi rakyat. Kita telah dapat persetujuan,  sekarang dalam proses untuk mereka bentuk dan juga perbelanjaan.  Insha-Allah kita akan laksana seberapa cepat yang boleh, memandangkan keadaan pasar ikan itu tidak lagi selamat.

“Mengikut apa yang dipersetujui oleh jawatankuasa yang dibentuk oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) , tidak akan ada pembinaan hotel.  Namun mengekalkan ‘heritage’, jam besar dan replika perahu payang,” katanya semasa diminta  menguslas isu pasar payangketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Osman Muda dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Samiun Salleh.

Ahmad Razif berkata,  kerajaan negeri memutuskan untuk menaik taraf pasar itu, namun pada masa sama mengekalkannya mengikut aspirasi rakyat seperti yang dipersetujui dalam satu bengkel khas yang dianjurkan  MBKT pada akhir bulan lalu.

Sehingga kini, beliau berkata proses untuk mereka bentuk dan anggaran kos nilai pembinaan pasar itu sedang dilakukan dan kerja membaik pulih beberapa kerosakan, terutama di bahagian pasar basah akan disegerakan bagi memeberi keselesaan kepada peniaga serta pelanggan.

Sebelum ini, bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said  mengemukakan pelan cadangan pembangunan semula pasar itu dengan konsep yang lebih canggih dan moden.

Ketika itu, kerajaan negeri merancang pembinaan bangunan baharu bagi menggantikan Pasar Besar Kedai Payang yang sedia ada selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia mengesahkan ia tidak selamat diduduki, dengan kos RM80 juta untuk pasar sahaja.

Selain itu, sebuah hotel bertaraf lima bintang setinggi 23 tingkat yang menyediakan 550 bilik dan apartmen 30 tingkat akan turut dibina di tapak yang sama dan projek itu akan dimulakan pada tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun dengan kos keseluruhan lebih RM400 juta.

Bagaimanapun, perkara itu mencetuskan isu dan mendapat banyak kritikan negatif dari pelbagai pihak khususnya golongan peniaga.

Baru-baru ini, Ahmad Razif mengarahkan MBKT supaya menubuhkan jawatankuasa khas untuk mendapatkan pandangan dan idea dari pelbagai pihak termasuk Dewan Perniagaan Cina, usahawan Melayu, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan pelancong dan semua parti politik.

Hasil bengkel pada 18 Jun itu merumuskan rakyat bersetuju pasar itu dinaik taraf, tetapi menolak pembangunan sebagaimana pernah dicadangkan sebelum ini. 

No comments:

Post a Comment