Followers

rantau ku sayang

Saturday, July 12, 2014

Awas...bila nak buat komentar dilaman sosial


Gara-gara isu twitter Datuk Bung Mokthar Radin yang dianggap agungkan rejim fasis Adolf Hitler kerana pasukan Jerman belasah Brazil 7-1,Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua ahli UMNO berhati-hati dalam beri komentar atau pendapat menerusi laman sosial.


Katanya sekalipun UMNO tidak ada sebarang peraturan berkaitan laman sosial luahan mereka yang negatif boleh memberi kesan terhadap pandangan pihak luar kepada parti itu.

Beliau mengingatkan kenyataan yang mereka keluarkan itu sedikit sebanyak mencerminkan kepada orang luar mengenai Umno, Majlis Tertinggi Umno dan kedudukan seseorang pemimpin parti itu.

"Sebagai contoh sekiranya kita Anggota Parlimen, apa yang kita suarakan itu mereka di luar akan melihat (sebagai) kewibawaan Anggota Parlimen Barisan Nasional," katanya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai tindakan Ahli Parlimen BN Kinabatangan itu yang berkata dalam catatan Twitternya "Well done...Bravo...Long live Hitler.." sejurus selepas pasukan bola sepak Jerman menewaskan Brazil 7-1 pada perlawanan peringkat separuh akhir Piala Dunia, Rabu lepas.

Bung Moktar telah dikecam pelbagai pihak ekoran catatan twitterya itu.

Semalam Najib berkata di laman twitternya bahawa komen-komen yang dibuat oleh Bung Moktar "tidak boleh diterima dan salah" dan beliau "akan menarik balik" komennya itu.

Sesuatu kenyataan atau pandangan yang dibuat oleh anggota Umno tidak sepatutnya menyentuh perkara-perkara yang bertentangan dengan prinsip dan dasar perjuangan parti, kata Najib.


"Sebab itu saya ambil keputusan cepat untuk menegur beliau (Bung Moktar), dan beliau telah minta maaf dan menarik semula kenyataan itu," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, di PWTC petang Jumaat.

Najib berkata Umno tidak mempunyai perundangan spesifik bagi menghukum anggotanya yang mengeluarkan pandangan di laman sosial yang disifatkan bertentangan dengan prinsip parti.

Bagaimanapun, beliau berkata setiap anggota Umno kini menyedari perkara itu, dan mereka tidak akan sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan dan pandangan menyalahi prinsip dan dasar parti.

Pada sidang akhbar itu Najib juga memberitahu Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) bukan badan muktamad dalam menentukan kesesuaian Rang Undang-undang Harmoni Nasional sebagai pengganti Akta Hasutan 1948

Sebaliknya kata beliau perkara itu akan ditentukan oleh kabinet.

Justeru tegasnya, MPKN bukan satu forum atau platform muktamad untuk membincangkan perkara itu (penghasilan draf undang-undang baharu).

"Sepatutnya perbincangan dan pendapat dibincangkan secara tertutup dan MKPN bukan badan muktamad, sebaliknya kabinet," katanya.

Najib berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad bahawa anggota Majlis Peguam turut terlibat dalam penyediaan tiga draf undang-undang bagi menggantikan Akta Hasutan 1948 itu.

Najib yang juga Presiden Umno berkata mesyuarat Majlis Tertinggi Umno telah memutuskan untuk turut menyatakan pendirian serta menyumbangkan pendapat terhadap usaha penghasilan draf undang-undang itu.

Oleh itu, beliau berkata Umno akan mewujudkan satu jawatankuasa kecil di bawah Biro Perlembagaan dan Undang-undang untuk mengkaji dan seterusnya membuat cadangan berhubung draf undang-undang tersebut untuk pertimbangan pihak kerajaan.

Mengenai insiden serangan Israel keatas Gaza sekarang ,Perdana Menteri meminta semua bahagian Umno di seluruh negara diminta mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan penduduk Palestin daripada serangan rejim Zionis.

Najib berkata Umno juga akan menghantar bantuan ke Gaza yang kini diserang tentera Zionis.

Beliau berkata Majlis Tertinggi Umno juga turut mengutuk sekeras-kerasnya serangan dan keganasan rejim Zionis yang telah mengorbankan nyawa penduduk awam, termasuk kanak-kanak yang tidak berdosa di Gaza.

Beliau berkata Majlis Tertinggi Umno juga berdiri teguh dan menyokong penuh pendirian kerajaan dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.

Sehingga kini, media melaporkan sekurang-kurangnya 81 rakyat Palestin terkorban manakala ratusan lagi cedera akibat serangan bertubi-tubi roket tentera rejim Israel terhadap Gaza.

Dalam pada itu, Najib berkata tempoh Mesyuarat Agung Bahagian Umno yang bermula 8 Ogos ini akan dilanjutkan kepada 30 September ini berbanding tarikh sebelumnya, iaitu sehingga 14 September.

Tempoh mesyuarat itu dilanjutkan kerana Umno telah meminda tarikh Perhimpunan Agungnya tahun ini kepada 25 hingga 29 November depan, katanya.

Sebelum ini, perhimpunan itu dijadual berlangsung pada 28 Oktober hingga 1 November.

No comments:

Post a Comment