Followers

rantau ku sayang

Wednesday, July 9, 2014

Hanya undi tak percaya untuk singkir Abdul Khalid...

Nampaknya tidak ada cara mudah bagi Pakatan Rakyat menyelesaikan masalah kedudukan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Khalid yang disokong oleh sebahagian ADUN dan EXCO  'tak makan pujuk' atau 'gertak' untuk meletak jawatan secara 'aman'.

Difahamkan Abdul Khalid memberitahu beberapa pegawai kepercayaannya bahawa PKR tidak ada alasan kukuh untuk menyingkirkan beliau.

"Abdul Khalid masih mendapat sokongan dari sekurang-kurangnya tujuh ADUN PKR termasuk semua Exco," kata sumber dalaman PKR kepada Agendadaily.

PKR mempunyai 14 kerusi DUN, DAP dan PAS 15 kerusi manakala BN 12.

Untuk rekod, kerajaan PR pimpinan Abdul Khalid di Selangor menang lebih enam kerusi tambahan dalam PRU13, banding PRU12 dengan majoriti lebih besar di setengah-tengah kawasan.

"Ia menunjukkan rakyat memberikan mandat kepada Abdul Khalid dan mandat itu perlu dihormati sehingga ke PRU14,"katanya lagi.

Satu-satunya alasan untuk menggantikan Abdul Khalid yang kini berkembang dalam media sosial adalah "seseorang mahu isterinya menjadi MB Selangor".

Ini barangkali merujuk kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat merupakan dalang dalam percaturan menyingkirkan Abdul Khalid ini.

PKR dikatakan berjaya memujuk Pengerusi DAP Selangor Tony Pua untuk menyokong mereka dalam usul undi tak percaya terhadap Abdul Khalid.

"Tapi Tony Pua tidak mempunyai sokongan solid dikalangan ADUN DAP Selangor, ADUN Sungai Pinang dan bekas Speaker Teng Cheng Kim lebih berpengaruh dikalangan ADUN DAP berbanding Tony," katanya.

Manakala dikalangan ADUN PAS pula, semua ADUN akan mengundi secara 'blok' dan mereka menunggu isyarat parti jika undi tidak percaya diadakan dalam DUN Selangor.

"Sehingga semalam (Ahad) PAS masih memberikan sokongan kepada Abdul Khalid, baik PAS Pusat apatah lagi PAS negeri.."ujarnya.

PAS Pusat mengadakan mesyuarat dengan PAS Selangor pada Ahad di ibu pejabat PAS dan sehingga kini masih belum ada keputusan rasmi berkaitan dengan kedudukan Abdul Khalid.

Bagaimanapun ada pengalisis berperdapat tindakan PAS yang masih membisu berhubung isu kedudukan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menunjukkan berlaku percanggahan pendapat di kalangan pimpinan pusat dan negeri dalam parti itu.

Malah pertemuan antara pemimpin PAS Pusat dan Selangor dilihat tidak dapat mencapai keputusan berhubung tindakan beberapa pihak dalam PKR mendesak Abdul Khalid meletakkan jawatan Menteri Besar Selangor selepas kalah dalam pemilihan Ketua PKR Cabang Kuala Selangor bulan lepas.

Bagi penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, tindakan PAS yang masih belum menyatakan pendirian berhubung kedudukan menteri besar itu memperlihatkan dua pihak dalam parti itu, satu menyokong Abdul Khalid digugurkan manakala satu pihak lagi mahu beliau mengekalkan jawatan itu.

"Pimpinan PAS juga dilihat tidak dapat mencapai kata sepakat untuk menyokong Abdul Khalid digugurkan atau sebaliknya kerana mereka bimbang jika pengganti menteri besar adalah bukan dari kalangan mereka selepas ini, beberapa masalah lain akan timbul," katanya.

Bernama melaporkan pandangan yang sama turut dikongsi Profesor Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Prof Dr Ahmad Atory Hussain yang menyatakan bahawa konflik turut berlaku dalam pimpinan PKR pusat dan negeri.

"Isu ini timbul apabila terdapat pemimpin PKR sendiri yang mendesak Abdul Khalid meletakkan jawatan sebagai menteri besar untuk memberi laluan kepada pemimpin pilihan mereka," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Atory berpendapat pimpinan PAS masih tidak memberi sebarang maklum balas mengenai pendirian mereka terhadap Khalid kerana memerlukan masa untuk meneliti dan mengkaji perkembangan terkini landskap politik Selangor kerana isu itu melibatkan banyak pihak.

Menyentuh ura-ura ADUN Kajang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail antara nama yang disebut-sebut bakal pengganti Khalid untuk jawatan Menteri Besar Selangor, Sivamurugan berpendapat perkara itu bergantung kepada keputusan pihak pembangkang.

"Jika mereka membuat keputusan untuk menggugurkan Abdul Khalid, adakah keputusan itu dibuat untuk kepentingan rakyat atau hanya bagi menyenangkan sesetengah pemimpin mereka?

"Jika rakyat sudah menyenangi kepimpinan Abdul Khalid, beliau patut terus saja mengendalikan Selangor sehingga habis penggal," katanya.

Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar adalah antara pemimpin PKR yang secara terbuka mendesak Abdul Khalid melepaskan jawatannya selepas tewas dalam pemilihan Ketua PKR Cabang Kuala Selangor.

Abdul Khalid yang juga ADUN Pelabuhan Klang daripada PKR mengangkat sumpah pertama kali sebagai menteri besar pada 13 Mac 2008, empat hari selepas pilihan raya umum (PRU) 2008.

Pada PRU13, pakatan pembangkang memenangi 44 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, meningkat daripada 36 kerusi yang diperoleh pada 2008.

PKR menang 14 kerusi berbanding DAP dan PAS yang masing-masing memperoleh 15 kerusi. BN memenangi 12 kerusi.

No comments:

Post a Comment