Followers

rantau ku sayang

Tuesday, July 8, 2014

Memalukan Negara Saja "Diplomat itu mewakili negara..." Panglima Angkatan Tentera

Diplomat yang didakwa melakukan serangan seksual ke atas seorang wanita di New Zealand bukan sahaja mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pertahanan tetapi juga Malaysia, kata Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zain.

Justeru, Zulkifeli menegaskan permohonan New Zealand untuk menghadapkan diplomat berkenaan di mahkamah negara itu perlu dipertimbangkan kerana ia melibatkan hubungan dua hala Malaysia dan New Zealand.

Zulkifeli mengulas desakan agar diplomat berjawatan pembantu staf pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand dibicarakan di mahkamah tentera Malaysia kerana diplomat tersebut mewakili Kementerian Pertahanan dan ATM.

"Itu pandangan masing-masing, sekali imbas seperti itu. Namun diplomat ini juga mewakili negara.

"Atas hubungan dua hala, permohonan yang dibuat oleh New Zealand perlu dipertimbangkan," kata Zulkifeli kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bungkusan Hari Raya Kepada Kontinjen Malbatt 850-1 di Lebanon yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, Pejabat Peguam Negara Malaysia dan New Zealand masih lagi dalam peringkat perbincangan mengenai penghantaran diplomat berkenaan ke negara tersebut.

Abdul Rahim Bakri berkata, Malaysia komited untuk menghantar diplomat berkenaan.

"Diplomat ini masih lagi memegang jawatan beliau. Dia tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya dan biarlah mahkamah yang menentukan.

"Tarikh bila beliau akan dihantar masih belum ditentukan lagi tetapi ia akan dilakukan dalam masa terdekat," kata Abdul Rahim.

Abdul Rahim berkata, diplomat berkenaan masih lagi berada di hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Mengenai sumbangan bungkusan raya kepada anggota Malbatt di Lebanon, Abdul Rahim menjelaskan ia akan dihantar pada 14 Julai ini serentak lawatan kerja Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ke sana.

"Lawatan kerja dua hari ini bertujuan bagi melihat dan memantau dengan lebih dekat penugasan Malbatt 850-1 yang berkhidmat di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lebanon (United Nations Interim Force In Lebonan atau UNIFIL)," jelas Abdul Rahim.

Untuk rekod pasukan Malbatt mengandungi 850 anggota dan turut disertai oleh Anggota Bersenjata Brunei (ABDB) seramai 26 orang.

No comments:

Post a Comment