Followers

rantau ku sayang

Tuesday, July 8, 2014

Khabar angin letak jawatan MB: Khalid nafi, Geramm kecam...

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan akan meletakkan jawatannya, seperti yang disebarkan dalam mesej aplikasi WhatsApp yang menyatakan beliau sudah menyerahkan surat peletakan jawatan pagi tadi.

Beliau yang ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat perancangan di Shah Alam, Isnin, meminta pihak yang tidak bertanggungjawab itu menghentikan penyebaran khabar angin mengenai peletakan jawatannya.

"Tidak benar...saya baru lepas mesyuarat dan saya ada satu lagi mesyuarat petang ini," katanya kepada pemberita.

Abdul Khalid mengulas penyebaran maklumat di aplikasi Whatsapp bahawa beliau akan menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di istana pagi ini bagi menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

Ditanya sama ada tindakan penyebaran maklumat palsu itu merupakan serangan peribadi terhadapnya, beliau berkata walau apapun sebabnya, maklumat itu tidak benar dan individu yang melakukan perkara itu hanya membuang masa.

Abdul Khalid meminta individu berkenaan menghentikan tindakan penyebaran maklumat palsu itu.

Ditanya kemungkinan ia dilakukan lawannya dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR), beliau menjawab: "Bulan puasa saya tidak boleh cakap benda yang tidak betul."

Terdahulu, pihak media berkumpul di hadapan Istana Bukit Kayangan dan Istana Mestika di sini susulan penyebaran maklumat itu.

Bagaimanapun, selepas menunggu hampir dua jam mereka bergegas ke Bangunan Darul Ehsan selepas mendapat maklumat Abdul Khalid sedang menghadiri mesyuarat perancangan negeri di situ.

Kira-kira jam 11.30 pagi tadi, satu lagi mesej WhatsApp tersebar, kononnya daripada agensi Berita Nasional (Bernama) yang menyatakan bahawa Abdul Khalid sudah pun meletakkan jawatan dan Pesuruhjaya PAS Selangor dijangka mengangkat sumpah jawatan pada jam 2 petang ini.

Bagaimanapun, kira-kira sejam kemudian, Bernama menyebarkan berita terkini (flash) yang menafikan penyebaran berita peletakan jawatan Abdul Khalid.

Abdul Khalid kini dikatakan menerima tekanan daripada beberapa pimpinan PKR secara terbuka yang mahukan beliau meletak jawatan Menteri Besar.

Jumaat lepas, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafiei sebagai berkata peletakan jawatan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PKR pada 15 Jan lalu.

GERAMM KECAM PENYEBAR KHABAR ANGIN JUAL NAMA MEDIA

Sementara itu, Gerakan Media Marah (Geramm) hari ini mengecam tindakan sesetengah pihak terlibat dengan politik dalaman PKR Selangor yang telah menyalahgunakan nama media dan memalsukan sebaran berita untuk kepentingan politik mereka.

Dalam satu kenyataan media, Geramm dengan tegas menyatakan bahawa media tidak seharusnya dijadikan alat politik oleh mana-mana parti, samada dari Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional.

"Kami berpendapat bahawa media harus kekal bebas dan turut menyeru ahli-ahli politik supaya tidak menjerat media di dalam kemelut politik dalaman mereka

"Tidak dapat dinafikan bahawa media bertanggungjawab untuk melaporkan perkembangan politik tanah tetapi menyalahgunakan nama media bagi mengapi-apikan kemelut dalaman parti adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab serta boleh dilihat sebagai satu kesalahan jenayah,"ujarnya.

Satu pesanan yang memetik sumber didakwa dari kalangan media telah tersebar melalui khidmat pesanan ringkas Whatsapp pada malam Ahad untuk memaklumkan kemungkinan perjumpaan antara Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah pada jam 9 pagi Isnin, bagi menyerahkan surat perletakan jawatan beliau.

"Satu sidang media khas akan menyusul selepas itu," memetik pesanan yang kemudian telah dinafikan oleh pegawai dari pejabat Khalid.

Khabar angin tersebut mungkin disebarkan bagi memberi tekanan terhadap Khalid yang sedang bersaing merebut jawatan Timbalan Presiden PKR bersama penyandang Azmin Ali dan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution.

Bagaimanapun tindakan tidak bertanggungjawab ini telah membebankan pihak media yang terpaksa mencari pengesahan khabar angin tidak berasas.

Menurut Geramm jelas terdapat cubaan untuk menyalahguna nama media untuk kepentingan peribadi ahli politik tertentu yang sebelum ini mengeluh bahawa kenyataan mereka telah "diputar-belit" oleh media dan perbuatan ini harus dikecam.

No comments:

Post a Comment