Followers

rantau ku sayang

Sunday, July 13, 2014

Sikap Wan Azizah sudah dijangka



Sikap berdiam diri Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berhubung status Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hanya akan mengeruhkan lagi kemelut yang melanda parti itu.

Menurut bekas Setiausaha Pembangunan Integrasi Nasional PKR, Prof. Datuk Seri Dr. Mohammad Fairus Khairuddin, pendirian Wan Azizah penting kerana menjadi kayu pengukur kepada ahli parti itu.

Namun katanya, sikap Wan Azizah yang langsung tidak menyatakan pendirian beliau sama ada mahu Abdul Khalid kekal sebagai Menteri Besar Selangor atau ingin mengambil alih kedudukan tersebut seolah-olah sudah dijangka malahan mampu mengiyakan persepsi segelintir pihak bahawa beliau hanya pemimpin boneka semata-mata.

"Pendirian beliau penting bagi menjaga kestabilan politik parti tersebut tetapi sikap yang ditunjukkan jelas memperlihatkan bahawa beliau seolah-olah tidak mampu menggalas tanggungjawab Presiden parti dalam menangani pergolakan yang berlaku.

"Kita juga menjangkakan sikap Wan Azizah itu. Sekiranya polemik tersebut berterusan, Abdul Khalid sendiri juga harus sedar dan tidak membiarkan dirinya terus dikhia­nati," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas desakan terhadap Wan Azizah untuk menyatakan pendirian dengan segera sama ada mahu Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor atau tidak.

Dalam pada itu, bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata, Wan Azizah yang gagal menjalankan peranannya sebagai Presiden parti tersebut dengan sengaja membiarkan kedudukan Abdul Khalid terus menjadi tanda tanya.

"Selama ini pun kehadiran Wan Azizah tidak meninggalkan sebarang kesan tetapi sekadar menjaga kepentingan politik suaminya sendiri dan persoalan berhubung Menteri Besar Selangor itu hanya menjelaskan lagi keadaan tersebut,"katanya.

No comments:

Post a Comment