Followers

rantau ku sayang

Thursday, July 10, 2014

Bekas Timbalan Pengerusi DAP Johor keluar parti


Bekas Timbalan Pengerusi DAP Johor Norman Fernandez mengesahkan beliau telah meletak jawatan daripada parti itu berkuat kuasa serta merta, dua hari selepas pucuk pimpinan parti negeri membuat keputusan untuk merujuk beliau kepada jawatankuasa disiplin parti.

"Ya, saya telah melepaskan jawatan," kata beliau kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut beliau, keputusannya untuk meletak jawatan daripada DAP disampaikan kepada Setiausaha agung parti, Lim Guan Eng melalui surat ringkas semalam dan kandungan surat itu dihantar kepada Bernama.

"Kerana menyedari jika terus mengekalkan keahlian dalam parti akan menghalang dan menyekat kebebasan saya untuk menyuarakan pandangan dan kritikan khusus apabila parti terus bergabung dengan PAS," katanya dalam surat itu.

Fernandez, seorang peguam, berkata beliau secara jujur percaya bahawa beliau telah membuat keputusan yang betul untuk keluar daripada DAP.

"Mengakui bahawa tiada siapa yang mengatasi parti, Saya secara jujur percaya bahawa saya telah membuat keputusan yang betul," kata beliau dalam surat kepada Guan Eng.

Tindakan Fernandez untuk meletak jawatan daripada parti adalah susulan keputusan DAP Johor untuk merujuk beliau kepada jawatankuasa disiplin parti.

Pada 6 Julai, Setiausaha DAP Johor, Gan Peck Cheng yang juga anggota dewan undangan negeri Penggaram dalam kenyataan media berkata jawatankuasa negeri telah meluluskan usul untuk merujuk Fernandez kepada jawatankuasa disiplin parti.

Lapan daripada 20 anggota jawatankuasa DAP negeri mengundi menyokong usul itu sementara dua berkecuali, kata beliau.

Cheng berkata usul itu dikemukakan ekoran tiga komen yang dibuat oleh Fernandez dalam laman Facebook yang menjejaskan imej parti di mata masyarakat. 

No comments:

Post a Comment