Followers

rantau ku sayang

Friday, July 11, 2014

Anwar ulangi jawatan MB dicapai secara konsensus


Selepas umum menyaksikan siri perdebatan dan kenyataan lancang daripada pimpinan Pakatan Rakyat (PR) Selangor berhubung kedudukan Menteri Besar, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi tampil menegaskan bahawa kerusi bagi jawatan tersebut bukan milik individu.

Menurut Anwar, sebarang usaha untuk menukarkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu dilakukan dengan persetujuan ketiga-tiga parti dalam Pakatan.

"Tetapi sebagaimana saya sebut, ini bukan soal memilih untuk menerima tuntutan orang tertentu atau mengekalkan kedudukan.

"Ini bukan kerusi peribadi bagi sesiapa, kerusi ini mandat daripada rakyat. Dalam konteks Pakatan, walaupun ini kerusi Menteri Besar Keadilan, kita harus runding dan mencapai kata sepakat dengan DAP dan PAS," katanya dalam satu majlis perjumpaan bersama badan bukan kerajaan (NGO), di sini, malam tadi.     

Mengakui krisis itu sedikit sebanyak mengganggu perhatian untuk fokus kepada isu yang lebih besar, kata Anwar, beliau mengharapkan ianya dapat ditangani dalam masa masa terdekat. 

"Untuk Selangor, iya, kita sudah sampai ke satu peringkat untuk memberi keputusan akhir. Keputusan itu adalah keputusan PKR dan Pakatan Rakyat. Bukan Umno atau mana-mana individu dan kita harap dapat mencapainya dalam waktu terdekat," katanya lagi.

Anwar dalam pada itu menganggap pentadbiran Selangor di bawah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah yang terbaik berbanding negeri lain yang dinaungi Barisan Nasional (BN), khususnya dari segi pengurusan kewangan dan pembangunan.

Namun kata Anwar, dalam pada berbangga dengan kecekapan pengurusan kewangan yang menjadi kekuatan Selangor, perkara itu bukan kayu ukur kejayaan sesebuah negeri sekiranya hak rakyat terabai.

"Tapi ada masalah ia menghimpit rakyat.. Soal air, Kidex, kitab Bible dan bagaimana mengatasi apa yang dibangkitkan MAIS dan JAIS. Ini menyebabkan keresahan yang lebih meluas.

"Kita mengukur kehebatan ekonomi bukan dari sudut berapa banyak wang lebihan, tetapi bagaimana khidmat untuk meringankan beban rakyat bawahan," ujar Anwar.

Khalid yang telah memegang jawatan Menteri Besar selama dua penggal berdepan dengan gerakan untuk menyingkirkannya setelah didakwa gagal menangani beberapa isu penting melibatkan kepentingan dan hak rakyat Selangor.

Antaranya isu pengambilalihan industri air Selangor, rampasan kitab Bible, isu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pembinaan Lebuh Raya Kidex yang mendapat bantahan ramai, dan banyak lagi.

Beberapa pimpinan PKR juga menegaskan Khalid tetap akan ditukarkan seperti mana perancangan Langkah Kajang dan ketetapan yang dicapai dalam Majlis Pimpinan Pusat PKR, Januari lalu. 

No comments:

Post a Comment