Keluarga Pegawai Tourism Malaysia di Sweden, Azizul Raheem Awalludin yang dibebaskan dari penjara di Sweden pada 9 Julai lepas, bersyukur dan gembira beliau dijangka tiba di Malaysia esok.
Adik kepada Shalwati, Shaleena Norshal, 43, berkata dia dan kesemua anak Azizul akan bertolak ke Kuala Lumpur malam ini.
“Alhamdulilah, kami semua bersyukur dia (Azizul) dapat kembali ke Malaysia, kami akan menyambut ketibaannya esok di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Saya sekeluarga bersama empat anaknya akan bertolak ke Kuala Lumpur pada pukul 10.50 malam ini,” katanya ketika di hubungi Bernama di sini, hari ini.
Sebelum ini, Aishah, anak sulung Azizul Raheem berkata dia dan adik-adiknya tidak sabar untuk berjumpa dengan ayahnya itu.
“Saya tak sabar untuk berjumpa ayah dan sering memikirkan apa yang akan dilakukan apabila berjumpa ayah nanti,” kata Aishah.
Azizul Raheem dijatuhi hukuman penjara kerana memukul keempat-empat anaknya sejak September 2010, dan telah menjalani hukuman tiga bulan di Sweden bermula 28 Mac lepas.
Mahkamah Daerah Solna di Stockholm menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan ke atas Azizul Raheem dan 14 bulan terhadap isterinya, Shalwati Norshal.
Bagaimanapun, mereka hanya perlu menjalani satu pertiga daripada tempoh itu selepas mahkamah mengurangkan hukuman penjara berkenaan.
Shalwati, seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji, akan dibebaskan tiga bulan lagi manakala anak mereka iaitu Aishah, 14, Ammar, 12, Adam, 11 dan Ariff, 7, yang pada mulanya diletak di bawah jagaan keluarga angkat bukan Islam susulan kes itu, kemudian diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di Sweden pada 30 Januari lepas.
Anak pasangan itu pulang ke Malaysia pada 31 Januari lepas dan kini dijaga ibu saudara dan bapa saudara mereka di Kelantan.
No comments:
Post a Comment