Sebarang tindakan lepas tangan terhadap golongan LGBT dengan tujuan kononnya tidak mahu mendiskriminasi kumpulan songsang itu membawa maksud pengiktirafan kepada golongan tersebut.
Sebaliknya, kumpulan yang mengamalkan seks songsang itu wajib diperangi dan dihukum kerana perlakuan LGBT adalah satu perkara yang dimurkai oleh Allah dan hukumannya amat berat di dunia dan akhirat.
Demikian kenyataan Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS) Prof Madya Dr Aznan Hasan berhubung kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang dan Dasar, Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN), Dr Mujahid Yusof.
Dr Mujahid dalam kenyataannya berkata, beliau tidak mengiktiraf golongan LGBT namun menolak sebarang diskriminasi ke atas mereka dengan alasan LGBT duduk di bawah gender.
Ujar Dr Aznan, memang benar Islam tidak pernah mendiskriminasi manusia berdasarkan gender, tetapi beliau perlu sedar bahawa Islam tidak pernah mengiktiraf LGBT sebagai satu orientasi seksual yang diterima.
“Menerima bahawa mereka yang melakukan LGBT sepatutnya dibiarkan tanpa sebarang tindakan, adalah umpama mengiktiraf kehendak seksual mereka yang menyeleweng ini,” kata beliau kepada ISMAweb.
Tambahnya, Dr Mujahid perlu sedar bahawa di dalam Islam, perlakuan LGBT adalah sesuatu perkara yang dimurkai Allah, dan hukumannya adalah amat berat, di dunia dan di akhirat.
“Apabila telah sabit seseorang itu melakukan LGBT, maka si pelaku sepatutnya melalui proses kehakiman yang sepatutnya, bukan kerana diskriminasi, tetapi kerana melakukan perbuatan tersebut. Beliau tidak sepatutnya dibiarkan sahaja, setelah melakukan perbuatan jenayah tersebut,” katanya lagi.
Selain itu katanya, kenyataan Dr Mujahid ini seolah-olah menyatakan bahawa “Kita tidak bersetuju dengan LGBT, tetapi kita tidak akan mengambil apa-apa tindakan terhadap peliwat, dan mereka akan dibiarkan begitu sahaja, termasuklah boleh bekerja seperti biasa kerana sexual orientation adalah sesuatu hak kebebasan dan sesiapapun tidak berhak didiskriminasi kerana perkara tersebut.”
Dr Aznan juga menyeru agar Dr Mujahid merujuk kepada para ilmuan agama sebelum membuat kenyataan sebegini, agar beliau tidak keliru dan turut mengelirukan umat Islam yang lain.
No comments:
Post a Comment