Followers

rantau ku sayang

Wednesday, July 16, 2014

Ridhuan Tee: Tidak Semua Cina Ultra Kiasu


Bulan lalu, satu pertemuan tertutup secara harmoni, telah diatur oleh badan tertentu, antara saya dengan 10 orang pemuda parti Gerakan

Pemuda Gerakan bertanyakan soalan bertubi-tubi dan mahukan jawapan, kenapa saya selalu dilihat melakukan ‘attack’ kepada orang Cina dan melabelkan mereka sebagai ultra kiasu? Tidakkah lebih baik menulis menyeru kepada perpaduan nasional?

Saya jawab, tulisan saya tidak melakukan ‘attack’ kepada semua orang Cina. Tidak semua Cina itu ultra kiasu. Masih ramai orang Cina yang baik. 

Ultra kiasu yang setiap kali saya maksudkan adalah merujuk kepada mereka yang menentang agenda nasional seperti termaktub dalam perlembagaan negara. Tidak kira, sama ada mereka Melayu, Cina, India atau sesiapapun.

Agenda nasional adalah agenda yang telah dipersetujui bersama, seperti kedudukan agama Islam, bahasa Melayu, raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan bumiputera, dan lain-lain berkaitan. Kesemua ini mesti dihormati dan diutamakan dalam apa jua keadaan.

Saya tidak menanamkan kebencian. Tidak ada ertinya saya menganut agama Islam, jika saya mengajak umat Islam membenci mereka yang tidak ultra kiasu.  Tanggungjawab asas saya kepada mereka adalah; sampaikan walaupun satu ayat (berdakwah).

Semua bangsa (makhluk) adalah ciptaan Allah SWT. Mesti dihormati. Tidak kira sama ada manusia atau binatang (termasuk babi). Tidak sewajarnya kita saling menghina atau bermusuh. Kecuali dalam ‘keadaan tertentu’.

Kemuliaan seseorang terletak pada iman dan takwa, bukan pada yang lain. Apa guna berbangga dengan bangsa, jika kita tidak dapat menjaga maruah bangsa sendiri.

Masih ramai manusia yang berbangsa hari ini, sengaja merosak bangsa sendiri dengan melakukan perbuatan negatif seperi berjudi, berzina, minum arak, hasad dengki, fitnah-menfitnah dan dosa besar yang lain.

Dalam menyeru kepada perpaduan nasional, kita sepatutnya dapat  melahirkan lebih ramai orang-orang seperti Prof Khoo Kay Kim, Prof Teo Kok Seong, Mustapha Ma, Juhaidy Yean dan ramai lagi.

Mereka ini adalah kalangan Cina yang mementingkan agenda negara, berbanding bangsa. Mereka selalu berhujah dengan mengambil kira fakta sejarah negara tercinta ini. Saya harap, lebih ramai lagi Cina, terutama ahli-ahli parti Gerakan, akan mengikuti jejak-jejak mereka. Malangnya, golongan inilah yang paling tidak disukai ultra kiasu.
Menelusuri sejenak pengalaman sejak dari kecil, saya dididik membenci Melayu. Melayu dilabelkan sebagai kaki hutang, kaki pukul, pengotor dan sebagainya. Apabila saya mula mendalami Islam, ternyata persepsi itu tidak betul.

Melayu dan Islam ada dua perkara berbeza. Melayu adalah bangsa, Islam adalah agama. Jika mahu lihat keindahan dan kehebatan Melayu, tengoklah amalan Islam yang menjadi anutan Melayu. Melayu tidak seburuk yang disangka. 

Justeru, menjadi tanggungjawab saya untuk memperbetulkan salah faham ini. Alhamdulillah, Pemuda Gerakan mula memahami dan mengenali saya.

Pertama, artikel saya sentiasa menyeru kepada perpaduan nasional, bukan sebaliknya. Kita perlu membendung sifat ultra kiasu. Jika mahu kenal saya, baca artikel saya secara penuh. Jangan baca laman web ultra kiasu yang selalu memanipulasikan dan mensensasikan baris-baris kecil artikel saya dalam akhbar Sinar Harian.

Kedua, jangan campuri hal ehwal agama Islam, jika kamu semua tidak tahu tentangnya. Tindakan ini akan membawa padah yang lebih buruk. Agama adalah isu yang amat sensitif bagi orang Islam. Jika tidak tahu, lebihkan bertanya bagi mendapatkan jawapan. Agama Islam, adalah agama yang menyeru kepada perdamaian dan perpaduan.

Maka tidak hairan, dalam sekitar 1400 tahun, Islam begitu cepat berkembang. Populasi kedua terbesar di dunia. Malah telah mengatasi  agama-agama besar yang lebih awal kewujudannya. Adakah Islam boleh tersebar jika tidak menggalakkan semua ini?

Ketiga, belajarlah memahami cara hidup Melayu dan sensitivitinya. Sekali sekala, saya teramat ingin melihat bukan Melayu memakai baju Melayu ketika pembukaan parlimen atau mengambil pingat kebesaran, daripada berlagak memakai blazer atau pakaian orang putih.

Keempat perpaduan nasional tidak akan melalui perjuangan Malaysian Malaysia. Jika adil itu 1=1, maka MCA dan Gerakan tidak layak untuk mendapatkan kerusi kebinet dalam keadaan persembahan mereka dalam PRU 13 amat buruk.

Kelima, pemuda Gerakan dari awal mengatakan bahawa mereka bukan parti parkaumen tetapi untuk semua kaum. Gerakan menjadi ‘rosak’ disebabkan oleh beberapa orang MCA yang telah mendominasi parti itu, seterusnya pemimpin utama, sehingga menampakkan seolah-olah ia parti perkauman. Gerakan mahu kembali kepada landasan asal untuk semua kaum.

Jika begitulah keadaannya, Gerakan mesti dapat membuktikan bahawa ia berbeza dan lebih relevan berbanding MCA. Suara Gerakan mesti suara Malaysia, bukan suara perkauman.

Kesimpulannya, saya akan terus menulis untuk masa depan Malaysia, dengan mengambil kira nasihat pemuda Gerakan.  Kepada yang tidak bersetuju, mereka ada hak untuk tidak membaca, mahupun untuk membalas, kerana kita mengamalkan demokrasi. 

No comments:

Post a Comment