Followers

rantau ku sayang

Monday, July 7, 2014

PM Puas Hati Pencapaian Terengganu

Perdana Menteri , Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak berpuas hati dengan pencapaian Terengganu di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman dan yakin terhadap kemampuan pemimpin negeri itu bagi memperhebatkan lagi projek  pembangunan di Terengganu.

“Pada umumnya, saya berpuas hati apa yang telah dicapai oleh kerajaan negeri dan saya percaya Menteri Besar dan kerajaan negeri akan memperhebatkan lagi pelaksanaan projek-projek yang diluluskan untuk kerajaan negeri.

“Saya juga ambil maklum penekanan yang dibuat oleh Dato’ Ahmad Razif sebagai  Menteri Besar yang baharu atas tema `Transformasi Terengganu Baru’ (TTP) sebagai sokongan kepada Program Transformasi Nasional yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat,” katanya kepada pemberita di sidang media selepas Taklimat Pembangunan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman dan Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Terengganu menjadi negeri ketiga selepas Perak dan Kedah, yang dikunjungi Perdana Menteri bagi  mendengar taklimat pembangunan negeri sebagai input bagi menggubal  Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) (2016-2020) .

“Ada beberapa negeri lain dalam bulan puasa ini saya akan adakan taklimat yang sama,” katanya.

Ketika ditanya apakah fokus yang akan digariskan kepada Terengganu dalam RMK11 nanti,  Perdana Menteri menjelaskan beliau akan melihat apa kehendak dan tumpuan utama negeri itu dan berdasarkan taklimat, Terengganu memberi penekanan kepada projek pencegahan banjir,  kemudahan asas dan infrastruktur.

Tambahnya, beliau juga  mahu Terengganu memperhebatkan lagi projek-projek yang membolehkan rakyat dapat menjana pendapatan  lebih tinggi merangkumi bidang kemahiran, teknikal, keusahawanan, pendidikan  dan sebagainya.

Dalam pada itu, perbincangan dan taklimat berkenaan turut menyentuh mengenai beberapa projek yang membabitkan kepentingan rakyat yang dipohon oleh wakil rakyat setiap kawasan termasuk  projek tebatan banjir di dua kawasan yang  dilanda banjir sebelum ini, iaitu di Chukai, Kemaman dan Marang.

“Ada juga beberapa aspek lain, projek Matrikulasi dan projek penidikan  yang dirasakan  perlu dipertimbangan oleh Kerajaan persekutuan.

“Saya tidak membuat keputusan serta-merta, tetapi ini merupakan proses yang saya lakukan di setiap negeri dan kita akan kumpulkan serta rumuskan untuk melihat Kerajaan Pusat melaksanakan apa-apa yang kita perlu lakukan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 nanti,” katanya.

Sebelum itu, beliau berkata tiga komponen yang difokuskan dalam taklimat berkenaan adalah pertama,  dalam konteks Akujanji Kerajaan Persekutuan dan sejauh mana pelaksanaannya; kedua, dalam konteks Akujanji pimpinan kerajaan negeri dan sejauh mana pencapaian dan pelaksanaannya serta yang ketiga, hasil lawatan serta tinjauan mesra yang dilakukan oleh Perdana Menteri dan juga Timbalan Perdana Menteri ke negeri itu. 

No comments:

Post a Comment