Followers

rantau ku sayang

Monday, July 7, 2014

PM Umum Pembayaran Dividen FGV Dan Duit Raya Untuk Peneroka

Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak hari ini mengumumkan pembayaran dividen akhir Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) kepada peneroka Felda berjumlah RM72.9 juta.

Sehubungan itu, semua 112,635 warga peneroka akan menerima imbuhan sebanyak RM647.78 seorang.

Pembayaran dividen akhir FGV ini membabitkan jumlah 10 sen sesaham yang mana ia akan dibayar menerusi Tabung Amanah pada 11 Julai 2014.

Perdana Menteri yang menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga peneroka di Pejabat Felda Wilayah Terengganu hari ini juga turut menyampaikan duit raya kepada peneroka Felda dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM30.5 juta.

Duit raya yang diberikan setiap tahun ini adalah bertujuan bagi meringankan lagi beban kewangan peneroka dan keluarga mereka dalam membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri yang bakal menjelma akhir bulan ini.

Dalam majlis ini juga, Perdana Menteri turut menyerahkan zakat perniagaan bagi pihak kumpulan Felda berjumlah RM22.02 juta.

Jumlah bayaran zakat ini adalah sempena keuntungan FGV yang dicatatkan pada tahun kewangan 2013, iaitu sebanyak RM8.6 juta; Koperasi Permodalan Felda (KPF) sebanyak RM12.8 juta; Felda D’Saji sebanyak RM321,200 dan Koperasi Kakitangan Felda Malaysia Berhad (FELKOP) sebanyak RM297,985.97.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri menyatakan bahawa perkembangan berterusan perniagaan Kumpulan Felda ini membolehkan ia membayar zakat, sekaligus memberikan peluang untuk membantu lebih ramai golongan masyarakat yang memerlukan.

“Tidak dinafikan bahawa kewujudan Felda turut membantu memakmurkan masyarakat dan negara amnya,” ujar beliau.

Zakat perniagaan ini dibayar kepada 14 Pusat Zakat Negeri, iaitu bagi negeri-negeri di mana Kumpulan Felda menjalankan operasi perniagaannya.

Kumpulan Felda ketika ini terbabit dalam menjalankan aktiviti perniagaan seperti perladangan, pengilangan, pengangkutan, pemprosesan, perkhidmatan, pemasaran, pembinaan, penyimpanan dan lain-lain.

Aktiviti perniagaan ini diuruskan oleh syarikat Kumpulan Felda yang diletakkan di bawah pengendalian FGV.

Kegiatan KPF pula adalah berbentuk pelaburan yang mana ahlinya terdiri daripada peneroka, badan peneroka dan kakitangan Kumpulan Felda di seluruh negara.

Sementara itu, bersempena dengan majlis berbuka puasa ini, Kumpulan Felda turut memberikan sumbangan amal dan saguhati kepada Masjid Felda.

Sumbangan yang membabitkan jumlah RM927,500 ini akan diberikan kepada Pengerusi Masjid, Imam, Bilal dan Siak.

Majlis ini juga turut menyaksikan penyampaian insentif berbentuk wang tunai berjumlah RM200,000 kepada penjelajah Kelab Ekspedisi Tujuh Benua (KE7B) Felda Greenland yang telah berjaya menamatkan misi merentasi kepulauan ais terbesar dunia, Greenland yang membabitkan jarak perjalanan sejauh 540 kilometer.

Turut hadir pada majlis ini adalah Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Felda, Tan Sri Haji Mohd Isa Dato’ Haji Abdul Samad; ADUN-ADUN Kawasan Negeri Terengganu; Pengurusan Kanan Felda dan FGV; dan wakil-wakil Majlis Agama Islam Negeri serta lebih 6,000 warga peneroka dari seluruh negeri Terengganu. 

No comments:

Post a Comment