Followers

rantau ku sayang

Wednesday, July 2, 2014

PAS Setuju Pakatan Mungkin Berpecah

KUALA LUMPUR 1 Julai - Dewan Ulama Pas tidak menolak kemungkinan berlaku perpecahan dalam parti pakatan pembangkang jika mereka tidak sepakat dalam isu jawatan Menteri Besar Selangor.

Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad bagaimanapun berkata, sehingga kini, dakwaan berlakunya perpecahan tersebut disebabkan perebutan jawatan Menteri Besar Selangor merupakan isu lama.

"Isu ini (jawatan Menteri Besar) masalah kecil. Sejak dulu pun sudah timbul. Apa yang penting mereka yang dilantik jawatan Menteri Besar mesti dapat menyampaikan agenda parti kepada rakyat.

"Malah, mereka yang dilantik juga perlu mengambil kira pandangan semua pihak kerana sebarang perubahan mesti mendapat persetujuan daripada parti," katanya ketika kepada pemberita baru-baru ini.

Krisis perebutan jawatan Menteri Besar Selangor menggambarkan perpecahan bukan sahaja dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) malah membabitkan sekutu-sekutunya iaitu DAP dan Pas.

Presiden Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, pertelagahan di antara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sememangnya telah diketahui umum.

Katanya, situasi serupa turut berlaku dalam kalangan pemimpin Pas dan DAP di Selangor sehingga menyebabkan pentadbiran kerajaan PKR Selangor menjadi lemah.

Sementara itu, Mahfodz berkata, Pas boleh menerima sesiapa sahaja untuk mengisi jawatan Menteri Besar selagi pemimpin yang dilantik tersebut dipersetujui oleh kepemimpinan parti.

"Tidak dinafikan ada yang setuju dan ada yang tidak setuju. Bagaimanapun, Pas boleh menerima sesiapa sahaja. Kita mengekalkan prinsip mereka yang dilantik boleh menyumbang kepada ketiga-tiga parti dalam pakatan pembangkang.

"Namun, kita perlu mengambil kira pandangan semua pihak bagi memastikan pemimpin yang dilantik itu dapat membawa agenda rakyat," jelasnya. 

No comments:

Post a Comment