Followers

rantau ku sayang

Tuesday, July 1, 2014

Krisis PR kerana rebut jawatan, aset dan perniagaan di Selangor

Krisis perebutan jawatan Menteri Besar Selangor yang disandang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggambarkan perpecahan yang semakin parah bukan sahaja di dalam PKR malah turut membabitkan sekutu-sekutunya iaitu DAP dan PAS.

Presiden Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, pertelagahan di antara Abdul Khalid dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sememangnya telah diketahui umum.

Selain itu, jelas beliau, situasi serupa turut berlaku dalam kalangan pemimpin Pas dan DAP di Selangor sehingga menyebabkan pentadbiran kerajaan PKR Selangor menjadi lemah.

“Semua ini merugikan rakyat Selangor yang telah memberikan mandat mereka kepada pihak pembangkang untuk mentadbir negeri tersebut bagi penggal kedua.

"“Mandat itu langsung tidak dihargai ekoran sikap tamak pemimpin-pemimpin PKR, PAS dan DAP yang ingin merebut pelbagai aset dan perniagaan di Selangor," katanya.

Isu pertukaran Menteri Besar Selangor sekali lagi dibangkitkan apabila wujud dakwaan bahawa Pas Selangor sebulat suara menolak Abdul Khalid untuk terus kekal menyandang jawatan tersebut kerana kononnya ADUN Pelabuhan Klang itu sering membuat keputusan secara bersendirian tanpa merujuk parti dalam pakatan pembangkang.

Pun begitu Abdul Khalid tetap dengan pendirian untuk tidak melepaskan jawatan Menteri Besar walaupun beliau mungkin kalah dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.

Utusan melaporkan  Hamidzun berkata, sekiranya Abdul Khalid berjaya disingkirkan oleh sekutu-sekutunya dalam pembangkang, pelantikan Menteri Besar yang baharu mesti diperkenankan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terlebih dahulu.

“"Saya berpandangan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor seharusnya dibubarkan jika Abdul Khalid melepaskan jawatannya kerana tiada sebuah parti politik pun di negeri itu, sama ada PKR, DAP, PAS atau Barisan Nasional (BN) mempunyai majoriti mudah 29 kerusi," ujarnya.

Sementara itu,Setiausaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Selangor, Budiman Mohd. Zohdi memberitahu, rakyat Selangor semakin bosan dengan permainan politik pakatan pembangkang di negeri tersebut.

“Mereka asyik bertelagah sesama sendiri dan berebut jawatan Menteri Besar sehingga mengabaikan tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat Selangor khususnya berhubung krisis bekalan air," ujarnya.

Beliau menambah, krisis dalaman yang sedang melanda kerajaan PKR Selangor berpunca daripada struktur penubuhan pakatan pembangkang yang terlalu rapuh. 

No comments:

Post a Comment