Followers

rantau ku sayang

Tuesday, July 1, 2014

Negara huru-hara jika Akta Hasutan dimansuh - Dr Mahathir

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia boleh menjadi huru-hara sekiranya kerajaan meneruskan cadangan untuk menghapuskan Akta Hasutan 1948.

Beliau berkata ini kerana undang-undang baharu yang dicadang untuk menggantikan akta berkenaan tidak mampu untuk menghalang berbagai-bagai hasutan yang akan berlaku.

"Rakyat akan menerima berbagai-bagai hasutan, termasuk hasutan untuk meminda Perlembagaan Malaysia. Tidaklah mustahil mereka akan menghasut supaya institusi raja juga dihapuskan," katanya dalam entri terbaharu blog beliau http://chedet.cc, hari ini.

Dr Mahathir turut menyifatkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Buang Negeri telah menyebabkan peningkatan pelbagai jenis jenayah di negara ini.

"Tetapi hasutan walaupun ada dilakukan (sekarang) tetapi tidak melampaui batas," katanya.

Dr Mahathir berkata tanpa akta seumpamanya, pelampau di kalangan rakyat bebas mengkritik raja dan sistem beraja secara terbuka, dan akhirnya membuat desakan supaya institusi raja dihapuskan.

"Tidak ada undang-undang yang boleh menahan mereka setelah ISA dan Akta Hasutan dimansuh," katanya sambil menambah bahawa di Malaysia tidak ada undang-undang yang boleh menghalang sebarang cemuhan dilakukan terhadap raja dan institusi raja seperti mana undang-undang 'Lese Mejeste' yang wujud di Thailand.

Beliau berkata walaupun ramai mungkin akan marah terhadap hasutan untuk menghapuskan sistem beraja, tetapi kerana hasutan dibenar, mereka yang berminat untuk mendirikan Republik Malaysia berhak dan bebas untuk meneruskan kempen mereka.

"Kemungkinan ialah huru-hara akan berlaku dalam negara. Inilah kesan dari sikap liberal yang kita agungkan sekarang," kata beliau.

Kerajaan pada 30 Mei lepas mengumumkan cadangan memperkenalkan akta baharu bagi menggantikan Akta Hasutan dan mengesahkan menerima tiga draf rang undang-undang baharu berhubung keharmonian nasional. Ini susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2012 untuk menghapuskan akta kontroversi itu antaranya untuk meningkatkan kebebasan bersuara di kalangan rakyat.

Tiga rang undang-undang itu ialah Rang Undang-undang Harmoni Nasional, Rang Undang-undang Perpaduan Nasional dan Rang Undang-undang Suruhanjaya Perpaduan dan Integrasi Nasional.

Dr Mahathir sebelum ini mengkritik cadangan memperkenalkan ketiga-tiga undang-undang baharu itu kerana disifat akan terus meminggirkan segelintir kaum selain menghapuskan kelebihan berdasarkan bangsa, agama, keturunan, tempat lahir, jantina atau mereka yang tidak berkemampuan. 

No comments:

Post a Comment